Sunday, 16 April 2017

TERGANTUNG SEPI


Cukup Disini perjalanan kita
Menghukum Diri mendera hati ini
Terhimpit Dengan suasana


Berat Rasanya sukar diluahkan
Bernafas Ragu menghembus pilu
Perasaan Ini tergantung sepi


Dibiarkan begitu saja
Terikat namun tak bertali
Mencuba menyimpulkan mati
Namun Terputus jua


Disiksa Hati yang menagih
Harapan Kasih yang menjauh
Terpisah Dalam kekalutan
Jiwa Yang.... digantung sepi



Hidup.
Bila kita pertaruhkan hidup kita yang kita sayang pada tempat yang salah, kesakitan yang kita terima sungguhlah memeritkan. Hidup hanya sekali, itu yang selalu kita bisikkan pada diri sendiri. Apakah meletakkannya di tempat yang salah, melakukan kesilapan dan kita tidak mahu kembali bangkit dan bernyawa?

Kadangkala, kita buka hati kita pada orang yang salah. Kita berikan yang terbaik pada manusia yang kita sangka ditakdirkan untuk kita walaupun akhirnya benda yang diharapkan langsung tidak terjadi. Tetapi, itu bukan satu masalah sebenarnya. Bila kita yang bertanggungjawab untuk membuka hati kita, maka, kita harus mengambil usaha untuk menutupnya kembali. Kuasa di tangan kita.
Benar bukan?

 Kenapa sepasang kasut kadangkala mempunyai ciri-ciri berlainan daripada sepasang kasut yang sama? Sudah semestinya pemakainya adalah orang yang berbeza.



Manusia memang tamak. 
Itu kenyataan kejam yang kita harus akui bersama. Setiap daripada kita adalah tamak dan tidak pernah puas dengan apa yang kita miliki. Katakanlah perempuan yang sudah sedia ada cantik, kurus, langsing, kadangkala akibat tidak berpuas hati dengan apa yang dimiliki, dia akan pergi membuat pembedahan plastik untuk lebih cantik dari orang lain. Lelaki yang sudah memiliki segalanya, mungkin akan menggunakan kelebihannya untuk mendapat cinta yang lebih dari sepatutnya, walaupun sudah ada permaisuri yang menunggunya pulang ke rumah. Mungkin. Itu sebahagian daripada fragmen hidup yang nyata.

Kawan : Aku geram betul.
Aku : Kenapa?
Kawan : Bila aku buka balik hati aku untuk bercinta, orang yang aku nak, langsung tak pernah pandang aku. Tapi orang yang aku tak minat pula asyik mengekori.
Aku : Jadi?
Kawan : Adakah ini balasannya sebab selama ini aku menolak cinta yang hadir?
Aku : Jadi kau nak kata yang kau patut terima cinta orang yang mengekori kau?
Kawan : Bukanlah. Aku memang minat pada seseorang tu, cuma, dia langsung tak pernah endahkan aku.
Aku : Bukankah itu ironik?
Kawan : Maksudnya?
Aku : Manusia memang begitu.
Kawan : Terangkan.
Aku : Manusia selalunya akan tidak menghiraukan orang yang perlukan mereka, tetapi mengejar orang yang mereka suka. Manusia tolak orang yang cintakan mereka, tetapi mengejar orang yang tidak ada langsung perasaan pada mereka.
Kawan : Jadi, benda ni normal?
Aku : Normal terjadi pada manusia biasa.

Terima baik dan buruk.
Pernahkah sebelum kita membuka hati dan menyerahkannya kepada seseorang demi memulakan hubungan, kita telah mengkaji kesan baik dan buruknya yang datang secara pakej apabila kita menerimanya dalam hidup kita? Selalunya manusia akan terlepas pandang perkara sebegini dan menyebabkan kesakitan yang teramat sangat apabila benda yang istimewa telah bertukar menjadi duka.

Cinta.
Satu perasaan yang istimewa ini seperti dadah sebenarnya.
Dalam kuantiti yang kecil, ia tidak memberikan sebarang erti.
Dalam kuantiti yang sederhana dan berpatutan, ia memberikan kebaikan dan kesenangan seperti mana ubat.
Tetapi, bila dalam kuantiti yang terlampau banyak dan berlebihan, ia bakal memudaratkan.
Itu yang aku rasa, pandangan peribadi aku sendiri.
Ketagihan?
Itu pasti.

Dalam mimpi, impian dan cinta - tiada sebarang istilah mustahil yang neuron kita akan cipta. Semuanya boleh sahaja dan bakal sempurna. Tetapi, benarkah?

Banyak hubungan berakhir walaupun sebenarnya, itu tidak perlu berlaku.
Manusia memang suka membiarkan emosi dan sifat ego menguasai sehingga hilang pertimbangan. Dalam satu ketika, nafsu marah memuncak, ego mencanak, emosi merajai hingga sendiri akan lupa diri. Natijahnya? Bila tersedar dan tersentak, baru akan menyesal sendiri. Kenapa membiarkan sesuatu yang indah itu hilang begitu sahaja akibat kelalaian sendiri.

Ironinya nama Manusia.

No comments:

Post a Comment