Thursday 17 November 2016

Hujan Malam

Kegembiraan kadangkala akan datang dengan cepat dan pergi dalam sekelip mata. Terbang melayang tatkala tangan mahu menggenggam dengan pantas. Mata hanya akan dapat memandang ia berlalu pergi tanpa menyedari, itulah yang cuba digapai selama ini. 

Kecewa?
Istilah itu tidak akan dapat lari dari diri.
Cuma, berapa lama akan membiarkan diri terpuruk dalam kesedihan yang ternyata bukan buatan?
Itu satu persoalan yang berlegar dalam hati.
Diam, biarkan suasana sepi.


Manusia macam  ada satu kelemahan yang sangat menyakitkan. Paling takut kalau dia membuatkan orang disekeliling rasa marah dan terasa hati. Sungguh, memang takut bila dial terjebak dalam satu keadaan atau situasi di mana dia tidak boleh menang langsung demi menjaga manusia lain di tepinya. Kelakar bukan?

Tapi, itu dia,
Semalam, perberbualan panjang dengan seseorang tentang bagaimana untuk mengubah tabiat ini.  Seseorang itu dengan senang hati menyatakan itu sesungguhnya suatu ciri yang baik, tetapi Dia, disebalik menggembirakan hati orang lain, sakit sendirian dan menjadi benci dengan keadaan sekeliling yang pastinya membuatkan dia tersenyum lebih banyak daripada biasa.

K : Kau ambil keputusan lari lagi?
A : Ini yang terbaik.
K : Mana kau tahu?
A : Aku dapat merasakan ini yang terbaik.
K : Atas dasar apa? Kau sayangkan perhubungan kau, dan kau korbankan perhubungan tu demi orang lain gembira?
A : Dan aku katakan yang biarlah orang lain gembira.
K : Itu baik, tapi kau tahu kan apa kau buat?
A : Biarlah orang lain bina kebahagiaan dari duka aku.
K : Kau sakit sendirian.
A : Supaya aku boleh tersenyum satu hari nanti.
K : Kau dah cukup lama keseorangan, jangan jadi lebih sengsara menanggung sakit.
A : Manusia macam aku beku. Tidak terangsang dengan unsur luar buat masa ini.
K : Kau tahu yang dia akan kecewa?
A : Percayalah cakap aku, dia akan lebih gembira tanpa aku.
K : Bukan kau tahu hati dia.
A : Memang aku tak kenal hati dia, sebab aku tak pernah Ada di situ.
K: Lain macam bunyi?
A : *ketawa* Lumrah dunia yang aku sudah belajar dengan menahan air mata.
K : Jangan jadi gila.
A : Tak ada air mata, kau jangan risau.
K : Kau dan dia yang sama-sama terkorban.
A : Kaki aku di kapal lain, kaki dia di kapal lain, itu kau perlu faham.
K : Yang selamat hanya yang menumpang.
A : Bahkan, aku belayar seorang, dia punya penumpang.
K : Dan kau takkan jerit kalau kau tenggelam?
A : Tak, sebab tak ada jalan untuk berpatah balik.
K : Manusia sepi.
A : Dalam sepi, aku masih senyum.
K : Jangan tipu diri sendiri.
A : Tak. Kau pun tahu aku suka senyum.

 
 



Satu proses pelarian?
Bukan.
Ini satu proses kehidupan.
Memilih untuk terus hidup, bukan atas dasar kasihan.
Bertanggungjawab dalam apa sahaja yang dilakukan.
Berikan yang terbaik sementara masih punya kesempatan.
Ukir senyuman.
Lepaskan nafas perlahan.
Tiada lagi sebarang jawapan.

No comments:

Post a Comment