Saturday 16 January 2016

Surat Ke 2 Untuk Saudara

Sepanjang malam saya merenung skrin laptop dan saya membuat keputusan untuk menulis surat maya secara ringkas buat saudara yang selalu lekat di hati sekurang kurangnya untuk hari ini. Ketika saya menulis surat ini, dinding sedang berbunyi dan tivi kehilangan fungsi.

Saudara,

Bagaimana angin 16 Jan bertiup? Saya pasti ia memberi kesan yang menyelesakan dan juga membahagiakan. Bagaimana awan 16 Jan berarak? Saya yakin ia masih menjadi hari yang cerah walau hujan turun sekalipun. Dan bagaimana senyuman 16 Jan? Saya tahu ia merupakan senyuman paling bahagia dalam hari seorang lelaki

Maaf saya ucapkan kerana tidak dapat hadir pada hari itu. Kadang kala saya fikirkan yang saya sudah cukup bersedia tapi seperti yang orang lain mengenali saya, saya seorang yang cukup sukar diduga. Boleh jadi saya hadir dengan karekter wanita paling riang atau boleh jadi saya datang dengan watak yang paling garang. Lebih bagus tidak mengambil sebarang risiko dalam situasi seperti ini. Jika ini satu perang, saya sedang kalah teruk. Dan saya tidak fikir seorang wanita yang kalah dalam peperangan mampu makan nasi minyak dengan bahagianya. Hahaha.

Saudara,

Ajal, rezeki dan jodoh ialah kerja Tuhan. Dan betapa kita fikir kita mampu mengawalnya, kita akan sedar yang kita hanyalah manusia biasa. Dan sebagai manusia biasa(atau sedikit terer) saya terima apa jua adanya. Tuhan arif dengan kerjaNya. Saya tidak akan pernah menghalang jodoh.

Semoga berbahagia, semoga sentiasa susah senang bersama, semoga selalu ketawa walau apa jua musibah melanda, semoga sentiasa dalam lindungan Tuhan. Saya di sini akan okay okay sahaja. Dan percaya atau tidak, saya sedang menulis surat ini sambil senyum, mungkin mahu melindungi sesuatu atau juga mahu memujuk. Jangan risau seperti kebiasaannya bab pujuk memujuk ni saya sangat terror.

Saudara,

Ini permulaan yang baru dalam hidup saudara. Maka hadapinya dengan tenang. 
Selamat pengantin baru.

Kekniss: walau hidup sememangnya takdir yang menentukan tapi kita berhak membuat keputusan.

No comments:

Post a Comment