Monday 22 February 2016

Awan Mendung


Kadang aku ada sedikit rasa kepelikan pada sifat perempuan. Ada masa, entah apa yang tidak kena dan secara tiba-tiba sahaja emosi membelenggu diri. Seumpama ada satu kelompok awam hitam yang besar memayungi diri dan mengekori ke setiap penjuru. Okay, itu boleh dikatakan ketidakstabilan hormon. Tapi kenapa ya, hormon itu tidak dapat dikawal?  Okay, mungkin dah cukup bulan, Cik Teman Baik datang melawat dan hormon mereka sedang bergendang-gendung dalam proses perubahan. Jadinya akan melibatkan emosi juga. Tapi ada juga bukan disebabkan kehadiran Cik Teman Baik. Awan mendung muncul secara tidak semena-mena. Puas difikir apa puncanya, kosong. Cuba diselongkar apa salahnya, negatif. Difikir-fikir dari pagi membawa ke malam, hampa. Tiada jawapan untuk kelompok awan mendung yang datang secara mengejut itu. Dan itu yang aku selalu dan sedang alami. Samada ego atau kau memang tidak mahu mengaku, sebenarnya kau tahu apa punca kau jadi begitu. Sebab dia kan? Mengakulah. Sedikit sebanyak sebab dia kan? Hei perempuan, mengakulah.

Kau bukan insan pertama dalam hatinya dan mungkin insan kedua atau entah yang ke berapa. Itu hanya satu kemungkinan. Sebab siapa kau di hati dia tidak pernah dipersoalkan. Kenapa? Sebab kau tak mahu tahu. Sebab kau tak cukup kuat untuk mendengar hakikat. Sebab kau terlalu keras dan angkuh untuk menerima. Sebab kau terlalu lemah untuk mengetahui yang sebenarnya pada dia. Yang kau mahu tahu dan akur akan situasi kamu, kau menyayangi dia dan dia menyayangi kau. Cukup itu sahaja. Dan kau tidak perlu tahu pada yang lain. Bagaimana dengan degree sayang kau pula? Hanya dia yang tahu, hanya dia yang melihatnya. orang boleh kata kau bodoh. orang boleh hina kau sebagai bangang dalam menabur sayang. Tapi sayang kau pada dia bukan satu benda bodoh. Sayang kau pada dia bukan satu benda bangang. Takpe tak perlu dipanjangkan cerita.Kau Dia saja yang tahu.atau mungkin biar kau seorang saja yang tahu. Biar kau seorang saja yang pendam. Dan jika itu yang akan menjadi awan mendung setiap masa dan saban hari untuk kau, biarkan. Dan jika awan mendung itu yang akan sentiasa mengocak kehidupan biasa-biasa kau ini, biarkan. Dan jika awan mendung itu yang akan membentuk emosi berkecamuk yang membuatkan kau gila, biarkan.Mungkin kehadiran awan mendung itu sahaja tempias sebahagian diri kau untuk dia. Dan itu sudah cukup menjadi tanda siapa kau pada dia. Terpulang untuk dikata betapa celakanya rasa ini sebab mereka takkan pernah tahu bagaimana rasanya. Rasa luka diam dan pendam itu hanya kau seorang yang tanggung. Setiap kali disebut perihal nama itu setiap kali dibawa bersua muka. Kau rabak diam lagi. Dan akan cuba untuk bangun berdiri lagi. 

awan mendung yang berarak 

bawa tangis bawa resah 

rebah rindu yang terkumpul 

Kau tak buta akan perihal takdir yang telah ditentukan itu. kau tak bodoh untuk menilai setiap perilaku itu yang bakal memusnah kau dari dalam. Jangan dicaci. Jangan dimaki. Sebab kau akan tetap begini. kau akan tetap memesongkan kiblat rasa itu menghala ke dia. Andai suatu hari dia pergi, kau tahu yang akan tertinggal nanti hanya awan mendung itu. Awan mendung itu yang akan sentiasa mengiringi kau sepanjang zaman. Dan itulah sumpahan yang akan kau terima terhadap kedegilan kau yang sekarang ini.



"Nah mocha,"
" senyum."

Kekniss : esok kerja, Badan sakit lagi. *Sigh

No comments:

Post a Comment