Friday 25 December 2015

Tahun Baru Sayang

Di pengakhiran tahun 2015,

Aku hanya nak rest in peace. Serious.

Jujur aku cakap, rasa macam baru semalam baru nak masuk tahun 2015. Hari ni dah menghitung hari nak meninggalkan bulan Disember. Banyak juga yang dirasa, lelah jugak berlari pecut dengan hati yang diragut, itu belum campur dengan luka pedih dahulu yang belum sembuh. Susah rupanya hidup ni. Susah rupanya jadi manusia yang ada hati.

Tapi tahun ini berbeza sedikit. Tahun ini rasa rabak dia lain macam. Kalau dulu bila rabak, rasa sedih. Kalau dulu rasa rabak, mesti rasa nak meroyan, rasa macam luka kena hiris berkali-kali dengan pisau dan dilumur dengan garam. Tapi itu dulu. Dulu tak sama dengan sekarang.

Jadi kononnya aku pun berkata dengan megah, mungkin aku tak perlu keluar dan meraikan tahun baru kali ini. Tak, meraikan dalam konteks ini bukan lah pergi party ke apa, cuma tahun sebelumnya aku suka keluar dan travel ke satu tempat di mana aku boleh duduk dan fikir balik apa yang aku buat dalam satu tahun. Itu definisi meraikan bagi aku. Muhasabah, dan lihat kembali kesemua benda yang aku capai. 

Entah macam mana, Aku tiba-tiba jadi takut. Aku mula terasa yang tahun 2015 makin menghilang, dan aku fikir, what's the point of sleeping? What's the point of giving up? Sudah hampir genap 25 tahun aku cuba nak hidup walaupun kena berebut sedut oksigen dengan berbilion lagi manusia dalam dunia. Kenapa aku kena mengalah sekarang?

Dengan pantas aku terdetik. Aku bayangkan dalam kepala, macam mana kalau hidup ni ibarat satu lagu yang panjangnya hanya 365 hari, dan hari ini adalah yang terakhir. Kalau dulu, mungkin tujuan aku keluar adalah untuk have fun, untuk kenal rakan-rakan baru, untuk make new relationships. Tapi kali ini, aku hanya mahu menghabiskan 24 jam yang terakhir tahun ini dengan orang yang aku anggap meaningful. 

Mungkin orang yang lebih tua akan cakap, ah engkau ni muda lagi, baru je 25 tahun. Rileks dan masih perlu enjoy, jumpa orang-orang baru and make connections. Bagi aku ini ridiculous. Mungkin nasib kau baik, masih lagi boleh hidup sampai umur kau yang sekarang, tapi tak semestinya aku pun akan dapat umur yang panjang macam kau. Aku mungkin ada dua tiga tahun je lagi untuk hidup, dan sebenarnya dalam konteks tersebut, aku sudah dikira tua. Sudah di penghujung usia. Bahagia.. Cuma itu yang ada dalam kepala bagi tahun depan.


Pernah kau berhenti sekejap dan berfikir, segala hati yang baik dan lembut itu kadang kadang adalah yang paling keras, paling tabah dan paling kuat kerana bisa lagi menghadap dan tidak memaling pergi dari apa yang membuatkan ia berdarah?

Pernah kau berhenti dan berfikir, dalam setiap pengorbanan, ikhlas adalah suatu yang perit dan kadang kadang diam itu menjadi tanda bahawa terpaksa adalah sebab kenapa diri rela menikam hati sendiri dari hati yang lain?

Pernah kau berhenti dan berfikir, dalam setiap kata dan senyum yang aku luahkan, penuh dengan pengharapan moga moga kau nampak betapa aku sakit untuk mengukir ketawa agar hati kau tidak gundah gulana?

Pernah kau berhenti dan berfikir , dalam diam aku juga berbicara dengan lantang, berteriak dengan kuat, bahawa aku tidak kuat. Bukan kau sahaja yang lemah, aku juga lemah , tapi harus diam kerana lemahnya aku harus tidak ditunjukkan agar kau senantiasa kuat.

Pernah kau berhenti dan berfikir, yang terbaik itu sentiasa ada, tapi bukankah yang membahagiakan juga adalah yang terbaik? Bahawa pilihan itu adalah satu kompetisi yang begitu kejam?

Tapi kata hati , semua soalan jawapannya ada pada hati . Benda yang benar itu senantiasa ada, senantiasa wujud di depan mata. Sanggup atau tidak sanggup sahaja yang membezakan. Seribu tahun itu sekejap, mungkin pada hati yang bersambut , tapi bagi hati yang menunggu? 

.................................

Sayang,

Amboi, pelik sungguh rasanya bila dah berani nak memanggil sayang. Tapi mungkin tidak mengapa, sayang saya hanya di sini. Bila berjumpa, saya macho macam biasa. Seratus kali ucapan maaf saya ucapkan jika selama ini mungkin kelihatan saya ini ego orangnya, keras hatinya, tapi betul ni sayang, itu bukan tanda saya tak sayang.

Sayang,

Jarang sekali kita berbicara tentang apa yang terjadi, apatah lagi mahu berbicara mengenai apa yang kita rasa dalam hati. Mula-mula kawan, lepas tu saya pun dah keliru apa dah jadi. Tapi seperti biasa, awak cakap biarlah Tuhan yang menjadi saksi, dan masa sebagai bukti. 

Tapi kadang-kadang, dunia seolah-olah membuat satu konspirasi. Bila sudah acap kali mulut membuat sumpah tidak mahu berjanji, di pengakhirannya kita masih di sini. Masih lagi berjumpa, masih lagi dalam persimpangan dilemma, masih lagi di takuk yang sama, mungkin masih lagi tak tahu apa yang menanti di kemudian hari, saya pun mula makan hati.

Sayang,

Mohon jangan salah faham, you're one of the best things that had happened to me. Saya juga sudah maklum, jodoh itu semua ketentuan Tuhan. Dan salah saya juga,Entah bagaimana semua ni terjadi. Maafkan saya.

Jadi, bila saya fikir tentang apa yang akan terjadi nanti, seolah-olahnya saya rasa dunia saya menjadi keras seperti batu. "you have no choice sis, be strong" Saya diam. Saya pendamkan kesemua. Saya senyum melihat fon. Saya biarkan sepi. Saya dengarkan saja, Saya perhati kan aja kesemuanya. Sebab seperti biasa, saya harus menjadi macho. 

Sayang,

Ini semua bukan perlian, tapi sebagai ucapan terima kasih. Terima dan kasih untuk semuanya. Yang manis itu harapnya akan kekal manis, dan yang pahit itu mohon agar diletak tepi dihujung kaki. Terima dan kasih juga kerana bersabar, kadang-kadang perempuan yang macho ini juga adalah perempuan paling manja di dunia. Tapi tak mengapa, manja saya, awak seorang aja yang rasa, lelaki yang lain saya hulurkan bisa. 

Dan Disember ini memang bulan pengakhiran, saya harap apa yang terjadi antara kita, dilipat kemas jadikan bekalan. Kalau rindu, boleh la sekali-sekala diselak dengan senyuman. Kita bermula dengan kawan, diharap walau apa pun yang terjadi esok, masih boleh kekal seperti ini

Okay sayang?

Selamat Tahun Baru.
dan mungkin Tahun itu boleh digantikan dengan sesuatu yang lain. Ya. Terkelu lidah nak tuturkan. tak mengapalah saya ucap dalam hati saja. Tuhan dengar jangan risau itu juga doa saya.

Kekniss: Saya okay. Awak Okay. Kita Okay


No comments:

Post a Comment